Sebagai seorang anak, kita mempunyai tanggungjawab terhadap ibu bapa. Tak kira mereka baik atau pun jahat di mata kita. Mereka berdua yang telah melahirkan kita dan menjaga kita sejak dari kecil lagi.
Kita sebagai anak tak boleh marah, tak boleh herdik, tak boleh tinggi suara kepada mereka.
Kisah Zaman Nabi Musa A.S
Ada satu kisah pada zaman Nabi Musa A.S, baginda bertanya;
“Ya Allah, siapakah jiran aku di syurga? Kemudian Allah memberitahu jiran kamu di syurga adalah seseorang.”
Maka Nabi Musa AS pergi mencari seseorang itu dan datang ke rumahnya. Maka Nabi Musa duduk dan pemuda itu membawa keluar dua ekor khinzir, lalu dimandikan dan diberi makan. Kemudian dibawa pula masuk ke dalam bilik.
Setelah Nabi Musa nampak perbuatan pemuda itu, Nabi Musa AS bertanyakan kepada si Fulan itu;
“Kamu menganut agama apa saudara?”
Pemuda menjawab;
“Aku menganut agama mu wahai Musa”
Nabi Musa AS;
“Kamu tahu agama melarang membela khinzir”
Pemuda menjawab;
“Khinzir tadi adalah kedua ibu bapaku wahai Musa. Kerana kedua ibu bapaku telah membuat perkara yang sangat terkutuk, Namun ia tidak menghalang aku untuk menghormati dan menyantuni ibu dan ayahku. Aku berharap dan berdoa kedua ibu bapaku diampuni oleh Allah SWT”
SubhanAllah! Begitu hebatnya pemuda tersebut walaupun apa yang berlaku terhadap ibu bapa nya, dia tetap menghormati dan menyantuni. Tidak hairanlah jika dia dikurniakan syurga.
Kita sebagai anak perlu menghormati dan menyantuni ibu bapa. Adapun mereka selalu berkecil hati dan mudah tersinggung. Kita perlulah menjaga perasaan mereka.
Cara Menjaga Perasaan Orang Tua
Bagaimana cara untuk kita menjaga perasaan mereka adalah dengan mengambil hati mereka yang terluka dengan perkara-perkara yang menambat hati mereka.
1. Sentiasa Hormat Dalam Apa Jua Emosi
Bersikap hormat dalam keadaan apa jua emosi sekali pun. Mungkin kita pernah marah, pernah kecewa, tetapi perasaan itu sebaik-baiknya tidak mengurangkan rasa hormat kita kepada mereka. Tetap tenang dan bijak menjaga emosi dengan baik.
2. Jangan membantah apabila ada pendapat yang berbeza.
Pendapat perlu disampaikan dengan cara yang halus dan sopan, bukan dengan keras. Beza generasi, beza usia, beza pengalaman membuatkan ruang perbezaan semakin luas.
Jangan bersikap kasar dengan mengeluarkan perkataan yang tidak sopan. Tetaplah menjaga etika dan menjaga perasaan mereka.
3. Jangan Meninggi Suara
Bagaimana sekalipun perasaan kita pada masa itu, jangan berteriak, membentak, bersuara dan bernada keras dalam berbicara dengan mereka. Memang sangat susah mengendalikan emosi ketika marah, tetapi cuba lakukan dengan baik. Insyaallah, semuanya dapat diatasi dengan baik.
4. Menjaga Hati Ibu Bapa Dengan Selalu Meminta Izin
Meminta izin dan mencium tangan ibu bapa sebelum pergi atau selepas pulang. Kita perlu menerapkan hal ini berdasarkan apa yang mereka ajarkan sewaktu kita masih kecil dahulu. Kita pasti dapat merasakan kesan positif hasil tabiat ini.
5. Jangan Pernah Memarahi
Jangan sesekali memarahi ibu bapa walaupun ada yang kita rasakan tidak betul pada mereka. Teguran mesti disampaikan secara sopan.
Mengapa perkara ini disampaikan berulang kali?
Kerana ia sangat penting untuk kita jaga. Jangan sesekali membentak mereka meskipun mereka di pihak yang salah.
6. Jangan Berleter Kepada Ibu Bapa
Jangan mengajari, menasihati atau memberi ceramah kepada ibu bapa. Apabila mahu memberi pandangan atau ibu bapa meminta pendapat kita, perlulah memberikan dengan sopan dan berhikmah.
Mungkin banyak perbezaan pandangan, pendapat, pengetahuan dalam banyak perkara yang tidak mungkin pernah sama. Tetapi mereka berhak bagi mendapatkan cinta dan sayang dari kita.
7. Jangan Menyampuk Perbicaraan
Jangan sekali-kali menyampuk perbicaraan ibu bapa. Ini etika asas yang mesti difahami secara betul. Jika etika ini kita terus lakukan hingga dewasa, ini akan menjadi nilai yang baik. Kita tahu bila sepatutnya bercakap dan bila kita perlu memerhatikan dengan baik.
8. Menjaga Hati Ibu Bapa dengan mendahulukan mereka
Tatacara lain adalah sikap sehari-hari iaitu mengutamakan atau mendahulukan ibu bapa dalam segala aktiviti seperti memberikan tempat duduk, memulakan makan minum dan sebagainya.
9. Menjaga Hati Ibu Bapa Bila Berhadapan dengan mereka
Apabila berhadapan dan berbicara dengan mereka, kita mestilah bersikap sopan, tidak bercekak pinggang, tidak melutut, tidak bersuara keras dan membentak.
10. Membantu Tanpa Diminta
Apabila melihat ibu bapa dalam kesusahan seperti mengangkat beban berat dan mengerjakan pekerjaan berat lain, tanpa diminta kita sepatutnya segera membantu.
Tips Membahagiakan Ibu Bapa
Selain itu, kita perlu juga membahagiakan hati ibu bapa kita. Bukan hanya dengan memberi wang sahaja. Ada banyak lagi cara lain untuk memujuk hati mereka di antaranya:
1. Belanja Makan
Ibu bapa akan berasa gembira jika kita sesekali belanja makan apa yang mereka suka. Membaca pergi makan di kedai atau hotel. Ini akan membuatkan mereka seronok dan bahagia lagi-lagi makan bersama satu keluarga.
2. Bawa Melancong/Berjalan
Sesekali kita perlu membawa mereka pergi berjalan-jalan atau melancong tempat menarik. Bawa mereka keluar dari rumah yang membuatkan mereka hilang rasa sedih. Dengan membawa keluar berjalan ini akan melepaskan tekanan dengan melihat suasana baru.
3 Luangkan Masa Bersama
Perkara ini yang paling penting untuk kita sebagai anak. Luangkan masa bersama mereka membuatkan mereka rasa bahagia dan selamat. Berborak dengan mereka supaya mereka dapat hilangkan rasa sunyi.
4 Memberikan Hadiah Yang Boleh Dipakai Lama
Berikan kejutan kepada mereka dengan memberi hadiah yang menggembirakan mereka. Dengan memberi hadiah membuatkan mereka terasa dihargai dan disayangi. Berikan hadiah yang bermakna dan bermanfaat seperti jam tangan, dompet, ataupun hadiah senaskah Al-Quran.
Perubahan positif membuahkan hasil
Apa yang ditulis ini adalah cara mudah dan berkesan untuk menjaga hati ibu bapa kita.
Marilah kita sama-sama melakukan perubahan yang positif kerana segala-galanya bermula dari dalam diri kita sendiri.
Oleh itu, ia hendaklah diamalkan dan rasailah perubahan hubungan kita dengan ibu bapa, supaya dapat mengeratkan lagi hubungan kasih sayang kita dengan mereka.